Wednesday, 2 March 2011

Kepentingan Menilai Kesahihan Sanad Hadis

Kepentingan Menilai Kesahihan Sanad Hadis
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد، قال الله تعالى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (yang sebenar), yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. Surah al-Hujurat: 6.

Pendahuluan: Kelebihan Mempelajari HadisMempelajari ilmu hadis merupakan antara ibadat yang paling bernilai. Ini kerana seluruh ilmu dalam Islam mesti didasarkan kepada al-Qur’an dan al-Hadis. Dan hadis pula merupakan penentu, kerana ia merupakan penerangan dan praktikal terhadap al-Qur’an. Kerana inilah Sufyan al-Sauri berkata:
لا أعلم شيئا من الأعمال أفضل من طلب الحديث لمن حسنت فيه نيته
Ertinya: “Aku tidak mengetahui suatupun daripada amalan yang lebih afdhal daripada mempelajari hadis, bagi yang baik niatnya dalam mempelajarinya”.


Asas Sesuatu Hadis
Sesuatu hadis terdiri daripada dua asas, iaitu sanad dan matan. Matan hadis ialah cerita yang dibawa dalam hadis tersebut, manakala sanadnya pula ialah para perawi yang membawa cerita tersebut. Sebagai contoh, hadis riwayat Imam Bukhari:
حدثنا الحميدي عبد الله بن الزبير، قال: حدثنا سفيان، قال: حدثنا يحيى بن سعيد الأنصاري، قال: أخبرني محمد بن إبراهيم التيمي، أنه سمع علقمة بن وقاص الليثي يقول: سمعت عمر بن الخطاب رضي الله عنه على المنبر قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو إلى امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه". رواه البخاري.

Takrif Sanad
السند: الإخبار عن طريق المتن: سلسلة الرجال الموصلة للمتن.Sanad ialah susur galur para perawi yang membawa matan hadis.


Kepentingan Mengkaji Sanad Dan Kaitannya Dengan Kesahihan Hadis

Kepentingan mengkaji sanad sangat jelas dalam menentukan kesahihan hadis.
الحديث الصحيح: هو ما اتصل سنده بنقل العدل الضابط عن مثله إلى منتهاه من غير شذوذ ولا علةHadis sahih ialah hadis yang mencukupi lima syarat iaitu:
1- Sanadnya bersambung,
2- Para perawinya bersifat adil,
3- Para perawinya dhobit (pengingat),
4- Tiada syaz,
5- Tiada illah.
Berdasarkan kepada takrif hadis sohih, jelaslah kepentingan mengkaji sanad, kerana kelima-lima syarat hadis sohih itu ada pada sanad. Cuma dua syarat sahaja yang berkaitan matan, iaitu tiada syaz dan tiada illah. Namun, perlu diingatkan bahawa tujuan kajian sanad adalah untuk matan, iaitu untuk mengkaji kesahihan matan hadis, samada ia boleh diamalkan atau tidak.

Pandangan Ulamak Hadis Tentang Kepentingan Sanad

1- قال سفيان الثوري: الإسناد سلاح المؤمن، فإذا لم يكن معه سلاح فيم يقاتل؟
2- قال عبد الله بن المبارك: الإسناد من الدين لولا الإسناد لقال من شاء ما شاء
3- قال الشافعي: مثل من يطلب الحديث بلا إسناد كمثل حاطب ليل، ربما احتطب في حطبه الأفعى.
1- Sufyan as-Sauri berkata: “Sanad itu senjata orang yang beriman. Jika dia tiada senjata, bagaimanakah dia akan berperang”?.
2- Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Sanad itu sebahagian daripada agama. Kalaulah tiada sanad, nescaya siapa sahaja akan bercakap apa yang dia ingin cakapkan”.
3- Imam Syafie berkata: “Perumpamaan orang yang belajar hadis tanpa matan, samalah seperti orang yang mencari kayu api di malam hari. Boleh jadi dia memungut kayu api, padahal ular berada di situ”.

Permulaan Menilai Kesahihan Sanad



Pada zaman Nabi s.a.w., para sahabat tidaklah begitu membincangkan mengenai sanad, kerana mereka mendengar sendiri hadis daripada Nabi s.a.w. Dan kalau mereka tidak mendengar sendiri sekalipun, belum wujud lagi pemalsuan hadis, kerana para sahabat tidak pernah berdusta. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. , kita melihat betapa Khalifah yang empat dan lain-lain sahabat menekankan tentang kesahihan sanad. Namun, setelah berlaku pembunuhan Saidina Usman, bermulalah penekanan yang begitu kuat tentang kepentingan menilai kesahihan sanad. Tambahan lagi, penulisan hadis belum sempurna lagi pada masa tersebut.
عن ابن سيرين أنه قال: لم يكونوا يسألون عن الإسناد فلما وقعت الفتنة قيل سموا لنا رجالكم فينظر إلى أهل السنة فيؤخذ حديثهم وينظر إلى أهل البدع فلا يؤخذ حديثهم
Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil Dan Kaitannya Dengan Sanad HadisHadis merupakan cerita berkaitan dengan Nabi. Sesuatu cerita atau berita yang kita dengar hari ini, tidak diketahui kesahihannya melainkan dengan mengenali si pembawa cerita tersebut. Mungkin kita menolak sesuatu cerita atau berita yang kita dengar, dengan alasan si pencerita itu adalah orang yang masyhur dengan berdusta dan membuat fitnah. Samalah halnya dengan hadis, bila kita ingin mengkaji tentang kesahihannya, maka kita terpaksa mengkaji sanad. Dan untuk mengkaji sanad, maka kita terpaksa mengenali samada perawi itu orang yang baik atau tidak, pengingat atau tidak. Maka dengan sebab itulah lahirnya ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil.

علم الجرح والتعديل: هو العلم الذي يبحث في أحوال الرواة من حيث قبول روايتهم أو ردها
Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta’dil ialah ilmu yang membincangkan keadaan para perawi, samada boleh diterima riwayat mereka (hadis mereka) atau tidak boleh diterima.

Maksud “Al-Jarh” dan “Al-Ta’dil”
الجرح: هو ظهور وصف في الراوي يثلم عدالته أو يخل بحفظه وضبطه. والتجريح: وصف الراوي بصفات تقتضي تضعيف روايته أو عدم قبولها. وفي الجرح، قال الرسول صلى الله عليه وسلم: "بئس أخو العشيرة". رواه البخاري. وقوله: "ما أظن فلانا وفلانا يعرفان من ديننا شيئا". رواه البخاري.


Al-Jarh ertinya luka. Namun dalam ilmu hadis, al-jarh ialah zahirnya sesuatu sifat pada perawi yang menjejaskan kebaikan perangainya atau yang mencacatkan hafalan dan penjagaannya terhadap hadis. Tajrih pula ialah menyebut atau menceritakan sifat-sifat seorang perawi hadis, (sifat) yang membawa kepada lemahnya riwayatnya (hadisnya) atau tidak boleh diterima.
والعدل: هو من لم يظهر في أمر دينه ومروءته ما يخل بهما. والتعديل وصف الراوي بصفات تزكيه فتظهر عدالته ويقبل خبره. وفي التعديل، قال الرسول صلى الله عليه وسلم: " نعم عبد الله خالد بن الوليد سيف من سيوف الله". رواه الترمذي وصححه الألباني.

Al-Adl ialah baik. Dalam istilahnya ialah seseorang yang tidak timbul padanya sesuatu perkara yang menjejaskan agamanya (perangainya dari sudut halal dan haram) dan juga maruahnya (kedudukannya pada pandangan masyarakat). Ta’dil pula ialah menyatakan tazkiah (kepujian) kepada seseorang perawi yang menunjukkan bahawa dia adalah adil dan riwayatnya (hadisnya) boleh diterima.

Adakah Boleh Menyebut Kejahatan Seseorang Perawi?Menyebut kejahatan para perawi tidaklah berdosa dan tidak dianggap sebagai mengumpat, bahkan ia merupakan satu kewajiban syarak. Ini kerana tidak akan dikenali hadis yang sahih atau dhoif dan palsu melainkan dengan cara ini.
Ketika Abdullah bin al-Mubarak mengajar, beliau menyebut seorang perawi yang bernama al-Ma’la bin Hilal, dan beliau berkata: “Dia ini seorang yang berdusta dalam hadis”. Lalu beberapa orang sufi berkata: “kenapakah kamu mengumpat”? lalu beliau berkata: “Diam. Kalau kami tidak jelaskan, maka bagaimana untuk mengenal yang haq dan yang batil”? Samalah juga dengan Imam Ahmad, beliau ditegur dalam perkara ini, lalu beliau berkata: “Ini bukanlah mengumpat, tetapi nasihat keikhlasan (yang wajib)”.
Abdul Rahman bin Mahdi menyatakan: “Aku pernah bertanya Syu’bah, Ibn Mubarak, as-Sauri, Malik bin Anas tentang seorang lelaki yang dituduh berdusta, (adakah boleh disebarkan?), mereka semua menjawab: “Sebarkanlah, kerana itu adalah (sebahagian daripada) agama”.

Adakah Semua Perawi Yang Baik Perangainya Mesti Diterima Hadis Riwayatnya?


Bukan semua perawi yang meriwayatkan hadis itu diterima hadisnya. Begitu juga halnya, kita di zaman ini. Bukan semua hadis yang dibacakan oleh seseorang ustaz itu boleh diterima. Ini kerana, boleh jadi dia adalah seorang yang baik dan zuhud, namun dia bukanlah seorang yang teliti dalam menuqilkan hadis, sehingga tidak membezakan antara yang sohih dan dhoif, atau yang thabit atau yang palsu.
1- قال يحيى بن سعيد القطان: ما رأيت الصالحين في شيء أكذب منهم في الحديث
1- Yahya bin Said al-Qattan berkata: “Aku tidak melihat para solihin, dalam satu perkara, ada yang lebih dusta daripada mereka (berbanding mereka) dalam hadis”.


2- قال مسلم: يجري الكذب على لسانهم ولا يتعمدون الكذب. وقال: أئتمن الرجل على مائة ألف ولا أئتمنه على الحديث.2- Imam Muslim (ketika mengulas pendapat Yahya bin Said al-Qattan tadi) berkata: “Pendustaan berlaku pada lidah mereka, sedangkan mereka tidak sengaja melakukannya”. Dan beliau juga pernah berkata: “Aku boleh percaya kepada seorang lelaki untuk seratus ribu (wang), namun aku tidak boleh mempercayainya dalam hadis”.


3- وقال أبو الزناد: أدركت بالمدينة مائة كلهم مأمون ما يؤخذ عنهم الحديث يقال ليس من أهله.3- Abu az-Zanad berkata: “Aku sempat berjumpa di Madinah ini, seratus orang yang memang boleh dipercayai, namun tidak boleh dipelajari hadis daripada mereka. Ini kerana mereka bukanlah ahlinya.


4- وقال مالك: إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم. لقد أدركت سبعين عند هذه الأساطين وأشار إلى مسجد الرسول صلى الله عليه وسلم يقولون: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم، فما أخذت عنهم شيئا. وإن أحدهم لو ائتمن على بيت مال لكان به أمينا إلا أنهم لم يكونوا من أهل هذا الشان، ويقدم علينا محمد بن مسلم بن عبيد الله بن عبد الله بن شهاب وهو شاب فنـزدحم على بابه.
4- Imam Malik berkata: “Sesungguhnya ilmu ini (hadis) merupakan agama. Maka, lihatlah dengan siapa kamu mengambil (asas) agama kamu. Seseungguhnya aku sempat berjumpa dengan 70 orang di Masjid Nabi ini, yang mana mereka menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda (mereka membacakan hadis), tapi aku tidak mempelajari sedikitpun daripada mereka. Sesungguhnya salah seorang daripada mereka itu, kalau diamanahkan untuk menjaga Baitulmal, memang dia seorang yang amanah, namun (tidak diambil hadis daripada mereka) kerana mereka bukanlah ahli dalam bidang ini (hadis). Dan bila tiba kepada kami Muhammad bin Syihab (Imam az-Zuhri), kami berlumba-lumba belajar dengannya, sekalipun dia hanyalah seorang yang muda”.

Mengapa Perlu Dikaji Sanad Hadis?Sanad hadis perlu dikaji kerana perkara-perkara berikut:-
1- Menilai hukum sesuatu hadis. Jika hadis itu sahih, maka wajib diamalkan, dan jika tidak, maka tidak wajib diamalkan.
2- Mengetahu sejauh mana tahap kesahihan dan kedhaifan sesuatu hadis. Ini kerana, ada juga hadis dhoif yang boleh menjadi “hasan lighairih”, lalu ia juga mesti diamalkan. Dan juga hadis dhoif boleh diamalkan untuk kelebihan amalan, jika ia tidak terlalu dhoif.
3- Mencari pendapat yang lebih tepat tentang hukum sesuatu hadis, jika berlaku khilaf di kalangan ilamak tentang status hukumnya.
4- Mengelakkan daripada kesilapan dalam aqidah atau amalan, bila mengamlkan hadis yang tidak diketahui kesahihannya.
5- Tidak mahu secara tidak sengaja menyebarkan hadis yang sudah tidak boleh disebarkan seperti hadis palsu atau yang terlalu dhoif. Sabda Nabi s.a.w:
من حدث عني بحديث يرى أنه كذب، فهو أحد الكاذبين. رواه مسلم عن المغيرة بن شعبة وسمرة بن جندب.
“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis, (sedangkan) dia rasakan hadis itu adalah pendustaan (bukan hadis Nabi sebenarnya), maka dia juga adalah seorang pendusta”. Sabda baginda juga, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع“Cukuplah seseorang itu untuk dianggap berdusta, bila dia menceritakan semua yang didengarinya”. Riwayat Muslim.

Kesimpulan
Mengkaji kesahihan sanad hadis merupakan satu perkara yang sangat penting. Dan perkara ini telah dilakukan dengan begitu teliti oleh para ulamak hadis. Bagi kita pula, kita mestilah mencari hukum sesuatu hadis, samada sahih atau tidak, kerana ia merupakan kesimpulan daripada kajian para ulamak tentang sanad hadis. Jangan kita mengambil hadis daripada bukan sumber yang sahih dan juga bukan daripada ahlinya. Semoga kita juga termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan doa Nabi s.a.w. kerana mempelajari hadis.